Sunday, June 14, 2015

Kata Aluan Pengetua

          Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya saya diberi ruang untuk menyampaikan mesej kepada warga SMK Cedung Jaya.

          Berteraskan motto sekolah "Berkualiti, Cemerlang, Gemilang" pihak sekolah mempunyai komitmen yang tinggi melahirkan modal insan yang cemerlang dari semua segi berdasarkan visi dan misi sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

          Daripada kaca mata saya, kecemerlangan hanya akan dapat dicapai seiring kelangsungan pematuhan kepada peraturan sekolah dan disiplin secara menyeluruh. Asas disiplin yang ampuh amat penting dalam pembentukan sahsiah dan kemenjadian murid. Amalan kecaknaan semua pihak banyak membantu dalam pembentukan modal insan ini. Justeru, merekayasa peranan kaunselor di sekolah oleh pihak Kementerian Pendidikan antaranya banyak membantu membimbing pelajar menunjuk arah menuju kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun sahsiah murid.

          Setiap unit di bawah Pengurusan Hal Ehwal Murid di sekolah ini memainkan peranan penting. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan sepanang tahun. Oleh yang demikian, komitmen pentadbir sekolah, guru-guru, kakitangan sekolah, para waris, ibu bapa dan pihak-pihak yang terlibat dalam memberikan sokongan amatlah dialu-alukan dan diucapkan terima kasih. Semoga dengan daya usaha semua pihak, agenda pendidikan ini dapat dilaksana dengan lebih dinamik dan proaktif. Sebagai renungan warga SMK Cedung Jaya kita selami kata-kata daripada Imam Al Ghazali ini..

Yang singkat itu waktu
Yang menipu itu dunia
Yang dekat itu kematian
Yang besar itu hawa nafsu
Yang berat itu amanah
Yang sulit itu ikhlas
Yang mudah itu berbuat dosa
Yang susah itu sabar
Yang sering lupa itu bersyukur
Yang mendorong ke neraka itu lidah
Yang berharga itu iman
Yang mententeramkan hati itu teman sejati
Yang ditunggu oleh Allah SWT itu taubat.

         Akhirulkalam, jadilah kita insan yang baik dan dapat memberi manfaat serta sumbangan kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Sekian, terima kasih.

1 comment:

  1. Banyak pembaharuan yang berlaku selepas 5 tahun meninggalkan SMK CEDUNG JAYA

    ReplyDelete